Lelaki : Personaliti

Kendali Bisnes Catering Hujung Minggu Hari Paling Sibuk Buat Abu Hassan

Pengalaman yang ditimbanya dalam bidang perniagaan makanan cukup banyak sekali pun terpaksa merangkak dari bawah. Namun personaliti lelaki minggu ini tidak pernah mengatakan ‘tidak’ kepada kerja-kerja yang dilakukan. Berputus asa langsung tiada dalam kamus hidupnya malah saban waktu dia sentiasa memikirkan inovasi terbaik yang perlu dilakukan bagi memantapkan perniagaan yang diterajui lebih tiga tahun ini.

Laluan perjalanan hidupnya penuh liku. Dari satu pekerjaan, dia mencuba pekerjaan yang lain malah pernah mencuba untuk berniaga tetapi gagal. Dari situ Abu Hassan mulai terfikir untuk mempertaruhkan diri dalam bidang makanan, sejajar dengan pengalaman yang dikumpul sekian lama.

“Saya buat macam-macam kerja. Dari jualan dan pemasaran hinggalah sebagai budak penghantar piza. Semuanya saya lakukan bagi mendapatkan pengalaman. Perkataan malu tak pernah ada sebab saya hendak mencari rezeki yang halal.

“Maklumlah, itu sahaja yang mampu, sesuai dengan kelulusan saya yang tak tinggi. Namun saya percaya, itu bukan halangan untuk tidak berjaya. Perlahan-lahan saya teliti dan belajar selok-belok perniagaan.

“Cara menguruskan pelanggan, bahan bahan yang digunakan untuk menyedapkan makanan, resipi-resipi menarik dan macam macam lagi. Mungkin tanpa bantuan pengalaman-pengalaman itu saya tak mampu menubuhkan Eiman Catering,” kata Pengarah Urusan yang mula menceburkan diri dalam bidang pekerjaan seawal usia 16 tahun.

Rasai Dengan Jiwa

Sekalipun terpaksa bersaing dengan syarikat katering yang lain, Abu Hassan tidak pernah gentar malah semakin bersemangat untuk mengembangkan empayar perniagaan. Baginya, kualiti masakan serta khidmat pelanggan yang terbaik adalah kunci bermakna yang boleh digunakan bagi menambat hati pelanggan.

“Bidang makanan bukanlah sesuatu yang mudah. Tidak boleh dilakukan sambil lewa. Perlu rasai dengan jiwa agar pelanggan benar-benar menerima apa yang kita beri. Kalau nak tahu di peringkat awal dahulu, semua menu saya sediakan. Senang cerita dari air tangan sendiri.

Waktu itu pakar masak tiada, jadi hendak tak hendak saya perlu turun padang. Sekarang barulah dapat bernafas sedikit kerana sudah ada pelapis malah lebih handal daripada saya. Merekalah yang banyak membantu untuk melicinkan perjalanan syarikat ini,” katanya yang baru mendirikan perkahwinan dengan Siti Aidatul Sarah Abdullah.

Melalui kehidupan yang sukar sedari kecil membuatkan Abu Hassan sentiasa bersemangat. Baginya tiada perkara mustahil untuk dilakukan sekiranya ada usaha dan keinginan. Anak ketujuh dari 11 adik beradik ini juga meletakkan pemikiran yang positif dalam hidupnya. Biarpun pernah ditipu dan jatuh beberapa kali namun ia sedikit pun tidak menjadi kudis dalam dirinya.

“Biasalah, jatuh bangun resam dalam kehidupan. Sebagai manusia biasa kita perlu redha dan teruskan usaha. Tak bolehlah berserah sahaja tanpa lakukan apa-apa. Masalah bayaran lambat daripada pelanggan bukanlah sesuatu yang luar biasa. “Diakui, ia sedikit sebanyak mengganggu perjalanan perniagaan

kami tetapi tidak bolehlah berdiam diri. Kena lakukan sesuatu bagi mengelakkan masalah tersebut berlarutan. Tambahan pula saya tak pernah mohon mana-mana pinjaman untuk mulakan perniagaan.

“Bukannya tak mahu tetapi bimbang terikat dan terjerat dengan hutang. Modal perniagaan ini saya kumpul sedikit demi sedikit. Dahulu, apa yang ada tidaklah selengkap hari ini. Kami banyak berjimat dan gunakan peralatan-peralatan biasa tetapi alhamdulillah, berkat kegigihan dan kesepatan dengan pekerja dapat jugalah sedikit rezeki untuk tambah kelengkapan itu dan ini,” jelas anak kelahiran Negeri Sembilan ini dengan wajah yang ceria.

Ada Ketika Tak Tidur

Setakat ini, Eiman Catering sudah ‘masuk’ ke Pahang dan Negeri Sembilan, selagi mana perjalanan itu mengambil masa kurang dari tiga jam. Bukannya apa, kualiti makanan harus dijaga agar segar dan panas sentiasa.

“Biasanya setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad adalah hari yang paling sibuk. Tak menang tangan dibuatnya sampai perlu dapatkan pekerja-pekerja sambilan untuk membantu. Sedari malam kami akan sediakan bahan dan masak apa yang patut.

“Bermula awal pagi dapur Eiman Catering sibuk dan bising membuat itu dan ini. Ada ketikanya tak tidur kerana mengejar masa yang ditetapkan oleh pelanggan. Ada juga orang tanya kenapa saya buat perniagaan makanan, kenapa tidak cuba yang lain. Saya kata makanan adalah satu perniagaan yang menyeronokkan. Puas bila melihat orang makan masakan kita dan kenyang. Rasanya itulah kenikmatan yang sukar ditafsirkan selain factor menjana pendapatan,” ujarnya yang bercita-cita untuk meluaskan perniagaan di negeri-negeri yang banyak permintaan seperti Johor dan Pulau Pinang

 

Facebook  |  Mall