Kemasyarakatan
Rela Berkorban Asal Ibu Selesa Dan Gembira
Sekujur tubuh kurus dilihat terbaring di atas sofa yang diletakkan berhadapan peti televisyen. Sebaik penulis bersama jurugambar memasuki kediaman sederhana kecil yang terletak di daerah Gombak, pemilik tubuh itu cuba bangun.
Seakan ingin memberi hormat dan mengalu-alukan kehadiran kami. Bimbang tercedera, salah seorang dari rakan penulis segera menghampirinya dan memberitahu bahawa kami hanya ingin melawat dan mengetahui tahap kesihatannya sahaja.
“Beginilah keadaan emak sejak empat tahun lalu akibat serangan angin ahmar. Sebelum ini ayahlah yang menjaga dan menjadi teman setia emak tetapi sejak pemergiannya pada Oktober 2011, sayalah yang mengambil alih tugasnya. Biarpun terpaksa ulang alik dari rumah setiap hari tetapi demi kasih yang tidak berbelah bahagi, saya rela asalkan emak selesa dan gembira di samping kami anak-anaknya,” jelas Nor Hayati Abd Kadir, 53, dengan jujur.
Kembalinya Abd Kadir Abu Samah, 82 tahun ke rahmatullah meninggalkan kesan mendalam buat Sariah Basir, 86, pemilik tubuh kurus yang gemar menghabiskan masanya di hadapan peti televisyen. Biarpun pandangan tidak sejelas dahulu namun di situlah lokasi terbaiknya. Sekali sekala, cucunya, Mohd Omar Mohd Nazri, 30, yang juga orang kelainan upaya (OKU) akan membawanya bersiar-siar di luar rumah menggunakan kerusi roda di sebelah petang bagi menghilangkan kebosanan.
“Di rumah ini, emak tinggal dengan kakak serta anaknya iaitu Mohd Omar. Memandangkan keduanya kurang sihat maka saya ambil keputusan untuk berhenti kerja sebagai operator pengeluaran dan menjaga emak sepenuh masa di sini.
“Pada waktu siang, di sinilah saya berkampung tetapi menjelang petang, suami akan datang dan kami akan balik ke rumah sendiri. Takkanlah nak pindah ke sini kerana rumah ini pun bukanlah sebesar mana. Bimbang emak tidak selesa jadi ada baiknya saya ulang alik sahaja,” tutur Nor Hayati. Jelasnya dia bersyukur sangat kerana suaminya memahami dan beri keizinan untuk dirinya membalas jasa ibu. Mungkin tanpa restunya, dia tak mampu untuk melakukan pengorbanan ini.
“Adik beradik lain pun ambil giliran jaga emak tetapi di hujung minggu sahaja kerana masing-masing bekerja dan tinggal agak jauh. Biasanya, kami adik beradik akan buat kutipan seorang sedikit untuk membeli lampin pakai buang emak serta vitamin bagi mengekalkan tahap kesihatan dan kecergasannya. Biarpun tidak sebanyak mana tetapi memadailah untuk menampung keperluan emak, kakak serta anaknya yang kelainan upaya,” ulas Nor Hayati yang mempunyai tujuh orang adik beradik.
Dihimpit Kerisauan
Ketika diminta menceritakan kisah ibunya, wanita ini menarik nafas seketika. Mungkin mengambil kekuatan untuk mengimbau detik bahagia yang pernah dilalui oleh mereka sekeluarga. Katanya, ibu mempunyai masalah darah tinggi dan satu ketika tiba-tiba jatuh pengsan ketika membancuh air di dapur.
“Apa yang terjadi cukup mengejutkan. Sebaik sedar, emak terus jadi begini bahkan nak makan pun susah. Waktu itu ayahlah yang menjaga, menyuap makanan dan membersihkan badan emak dengan penuh kasih sayang.
“Tidak lama kemudian, ayah sakit, kakinya kelihatan membengkak. Apabila dibawa ke hospital untuk pemeriksaan, doktor memberitahu ada ketumbuhan kecil di bahagian hatinya yang menjurus kepada kanser.
“Hancur luluh hati kami mendengarnya. Manakan tidak, dengan emak yang masih belum sembuh, ditambah pula dengan kesihatan ayah yang tidak menentu membuatkan perasaan dihimpit kerisauan. Seakan memahami perasaan anak-anaknya, penderitaan ayah berakhir dengan pemergiannya. Dia seolah-olah tidak mahu menyusahkan kami adik beradik,” kata Nor Hayati sambil mengusap badan ibunya perlahan-lahan.
Perlu Sabar
Kasih si anak jelas terpancar di wajahnya. Ibunya yang dahulu hanya terbaring kini mampu bangun dan duduk seperti biasa biarpun tempohnya tidak lama. Semuanya berkat kesabaran Nor Hayati serta adik beradik yang lain menjaga si ibu dengan penuh kasih sayang.
“Kami tak buat rawatan susulan di hospital lagi malah emak pun dah tak makan ubat. Hanya makan vitamin tambahan yang dibeli sahaja. Itu pun kalau ada lebihan duit, jika tidak emak hanya bergantung pada nasi berlaukkan kuah sup sahaja.
“Bukan tidak mahu membeli tetapi wang yang dikumpulkan ada ketikanya kurang mencukupi. Maklum sahajalah, masing-masing bukannya kerja besar, bantuan pun tak ada jadi apa yang ada kami gunakanlah sebaik-baiknya. Mujurlah rumah ini dibeli jadi kuranglah sedikit kos,” terang Nor Hayati bersungguh-sungguh.
Perbualan kami seakan difahami oleh Sariah. Sekali-sekala dia cuba bangun dari pembaringannya dan duduk seperti orang lain. Biarpun payah namun kudrat tuanya yang masih bersisa digunakan untuk membuktikan kemampuannya. Nyata, semangat yang dimiliki masih kuat biarpun fizikalnya kelihatan lemah.
“Siapalah yang tak sedih melihat emak yang suatu masa dahulu kuat dan bertenaga tiba-tiba lemah dan tak boleh bercakap seperti sekarang. Namun, saya bersyukur kerana diberi peluang menjaganya sekali gus membalas jasa yang pernah dicurahkan biarpun terpaksa menahan kesabaran ketika menyuap makanan ke mulutnya.
“Memang ia mengambil masa yang lama dan kita tak boleh buat kerja lain ketika itu. Insya-Allah, saya yakin emak akan sihat kerana semangatnya kuat,” ujar Nor Hayati sambil memandang ke arah si ibu yang setia berada di sebelahnya.
Tweet