Cerita Muka Depan
Fouziah Gous & Eira Syazira Mencari YangTerbaik

Bukan mudah untuk membina nama dalam industri seni tanah air. Persaingan sesama sendiri terlalu banyak. Bagi pelakon yang tidak mampu bertahan pasti menganggap dunia seni tidak sesuai dengan mereka. Namun buat Fouziah Gous dan juga Eira Syazira, itu sudah menjadi asam garam bagi yang bergelar anak seni. Kehadiran muka-muka baru dianggap sebagai sesuatu yang positif. Ia adalah untuk mewarnai lagi dunia seni tanah air dan tidak sama sekali dianggap cabaran buat diri mereka.
Fouziah Gous antara pelakon muda yang berbakat besar dan mampu berdiri di atas kakinya sendiri. Tidak memerlukan gosip panas untuk menaikkan namanya. Malah dia sendiri tidak percaya perkara itu mampu memberikan satu impak yang baik pada kerjaya seninya.
“Bagi saya untuk berjaya dalam dunia lakonan, kita perlu berdikari dan perlu tonjolkan bakat seni dalam diri sendiri. Saya tidak suka andai saya dikenali hanya kerana gosip yang tidak memberi apa-apa impak pada saya.
“Bagi saya itu hanyalah sebagai satu cebisan kecil dalam dunia lakonan. Kalau orang kata, jika ada gosip panas baru nama cepat naik dan dikenali, pada saya itu langsung tidak membantu kemajuan dunia seni. Biarlah saya dikenali kerana impak lakonan, cara itu barulah saya rasa tanggungjawab saya sebagai seorang pelakon sudah terlaksana,” tutur bintang yang menyerlah dalam drama Tahajud Cinta ini.
Pun begitu ungkapnya sebagai pelakon dia tidak mampu menepis gosip dalam dunia seni. Biar cuba mengelak tapi ada kalanya ia terpaksa dihadapi jua.
“Sebelum ini pun saya pernah dihimpit pelbagai gosip, tetapi andai kita tidak melayan akhirnya semua peminat akan tahu jua kebenarannya. Saya anggap itu adat dalam dunia seni. Saya cuba mengelakkan diri melakukan perkara yang boleh menimbulkan gosip. Tetapi jika ia terjadi jua itu bukan kemahuan saya.
“Saya laluinya dengan tenang dan tidak perlu melatah sebabnya ia hanyalah gosip dan yang penting keluarga, rakan-rakan dan peminat tahu siapa saya yang sebenarnya,” jelas Fouziah yang mengakui gaya hidup yang dipraktikan kini sebenarnya banyak mengelak dirinya terkena bahang gosip.
“Jika tiada penggambaran dan sebagainya, saya lebih suka meluangkan masa bersama keluarga dan untuk diri sendiri. Biasanya saya akan ke gimnasium, spa, salon dan keluar berjalan dan makan-makan bersama rakan dan keluarga.
“Kalau nak tahu saya sangat suka makan dan suka mencuba apa jenis makanan. Itulah keseronokan yang saya lalui andai jauh dari set penggambaran. Itu masa berkualiti untuk saya dan keluarga,” ceritanya.
Tiada Istilah Sambil Lewa
Terbaru pelakon ini usai menjalani penggambaran filem arahan Baldish Singh berjudul Kerat 14, lakonan bersama Siti Saleha dan Aaron Aziz. Kata Fouziah setiap watak diberikan kepadanya adalah amanah dan kepercayaan yang harus dilaksanakan sebaik mungkin.
Tidak pernah wujud dalam dirinya istilah sambil lewa atau sekadar mahu berseronok. Setiap skrip yang diberi akan diteliti dengan baik agar lakonannya dapat memikat hati penonton.
“Seronok dapat bekerjasama dengan semua pelakon dalam filem ini. Semua itu memberi pengalaman berbeza untuk saya. Di bawah setiap pengarah saya sentiasa ada ilmu dan kelainan ke atas lakonan saya.
“Tidak dinafi kan pengarah Eirma Fatima adalah idola saya dalam dunia seni ini. Peluang berlakon di bawah arahan dan juga skrip tulisannya iaitu Tahajud Cinta memberi pengalaman cukup bermakna untuk saya. Pertengahan Mac nanti saya sudah mula sibuk untuk penggambaran Trilogi Cinta 2. Sambungan kepada Trilogi Cinta 1 dahulu,” cerita Faouziah atau mesra dengan sapaan Gee.
Bukan Soal Harta
Dalam pada itu pelakon yang mula diperkenalkan oleh Prof. Madya Razak Mohaideen menerusi filem pertamanya iaitu Bujang Senang, dia kini mula merencana masa depannya dengan lebih baik lagi.
“Saya tidak suka siasiakan peluang yang mendatang. Kini saya cuba men ceburi dunia perniagaan. Persiapan sudah dilakukan dan jenis perniagaan juga sudah dikenal pasti. Apa yang boleh saya katakan ia tiada kaitan dengan industri seni. Saya cuba lari sedikit daripada apa yang saya lakukan kini. Bukan apa, saya cuba memberikan variasi kepada kehidupan saya,” tutur gadis yang kemudian diajukan soalan cepu mas tentang perkahwinan.
“Saya tidak letakkan sasaran bila saya akan berkahwin dan menamatkan zaman bujang. Apabila sudah tiba masanya dan dia sesuai dan mampu membimbing saya ke arah yang lebih baik, saya rasa itulah masa sesuai untuk saya berkahwin.
“Bukan soal harta dan kekayaan tetapi biarlah dia seorang yang boleh saya hormat. Pada saya itu perkara yang paling mustahak dalam sesebuah perhubungan itu. Saya melihat banyak kegagalan dalam sese buah rumah tangga itu kerana tiadanya rasa hormat. Jadi saya
cuba elakkan ia terjadi. Dan biarlah si dia itu nanti lebih segala-galanya daripada diri saya sendiri,” jelasnya menolak kejadian cinta lokasi.
“Jika di lokasi peng gambaran saya lebih tumpukan pada lakonan. Setiap babak lakonan itu hanyalah lakonan. Sebolehnya saya halang ia daripada merebak dan terbawa-bawa perasaan itu hingga di luar set penggambaran.”
Eira Bahagia Bergelar Isteri
Tidak sukar mengatur temu janji dengannya, walaupun diberitahu pada waktu yang singkat sebolehnya dia cuba mencari ruang memenuhi undangan MW dan sekali gus berkongsi ceritanya sejak bergelar isteri kepada pelakon Azad Jasmin.
“Saya bahagia ber gelar seorang isteri. Menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri memberi pengalaman baru untuk saya. Apa sahaja yang dilakukan adanya insan tersayang yang sentiasa memberikan sokongan dan dorongan. Hala tuju kehidupan semakin terarah dan saya rasakan kehidupan saya semakin menyeronokkan.
“Saya bersyukur kerana diberikan kasih dan cinta dari seorang lelaki yang sangat memahami, matang dan tidak pernah menghalang minat dan cita-cita saya selama ini. Dia seorang yang mudah dibawa berbincang dan tidak mengongkong. Selagi saya tahu di mana letaknya batas saya sebagai isteri, dia tidak pernah menghalang saya untuk bergiat aktif dalam dunia lakonan,” kata Eira.
Biarpun masih baru bergelar suami isteri, ujarnya tuntutan kerjaya membuatkan dia terpaksa berpisah dengan suami tercinta. Namun itu semua dianggap sebagai dugaan yang perlu ditempuhi sebagai pelakon.
“Walaupun saya perlu tinggalkannya dalam waktu lama untuk memenuhi tuntutan kerja, suami tetap positif. Beberapa hari selepas berkahwin, saya perlu ke Melbourne untuk habiskan penggambaran Dingin Lavender, dia tetap memberi semangat kepada saya dan perkara itu tidak pernah menjadi masalah besar kepada kami. Beruntungnya kerana kami berdua sama-sama terbabit dalam dunia lakonan, jadi kami sama-sama faham mengenai tuntutan kerjaya kami berdua,” luahnya.
Bercerita mengenai pengalamannya beberapa bulan bergelar isteri, Eira seronok bercerita mengenai kegemaran dan minat suami tersayang.
“Setiap pagi dan malam sebelum tidur saya mesti sediakan minuman untuknya. Dia suka makan dan terutamanya masakan saya. Dia tidak suka makan di luar, jadi walau sesibuk mana pun sarapan mesti saya sediakan juga.
“Suami saya juga seorang yang tidak cerewet. Apa yang disediakan itulah yang dia makan. Jika hari kami sama-sama tidak ada penggambaran, saya luangkan masa untuk memasak makanan kegemarannya.
“Apa yang boleh saya katakan, saya seronok bergelar seorang isteri dan andai saya tahu betapa bahagia hidup berumah tangga pasti waktu itu tidak saya lengah-lengahkan,” kata Eira sambil ketawa.
Tatkala ditanya mengenai cahaya mata, katanya dia dan suami tidak meletakkan sasaran bilakah waktu sesuai untuk mereka menimang cahaya mata. Bila-bila sahaja rezeki itu datang, baik dia mahupun suami tidak menolak.
“Kami tidak merancang. Berapa pun orang cahaya mata yang diberikan kami terimanya dengan gembira. Itu sudah rezeki yang ditetapkan oleh Allah SWT. Saya terima dengan penuh syukur. Lagipun itu adalah harta yang tidak mampu dibeli dengan wang ringgit. Saya menerimanya bila-bila masa sahaja tanggungjawab dan amanah untuk bergelar ibu.”
Belum Puas Mencari
11 tahun dalam dunia seni belum memberi kepuasan buat pelakon ini. Walaupun sudah pelbagai watak dilakonkan, Eira tetap mahukan mencari sesuatu yang lebih memberi kepuasan kepada dirinya dalam dunia lakonan.
“Saya mula terbabit dalam dunia lakonan ketika berusia 18 tahun. Walaupun pada asalnya hanyalah sekadar pelakon tambahan saya mampu yakinkan pengarah bahawa punya kebolehan dan bakat dalam bidang ini.
“ Mula-mula saya terbabit dengan Skop Production dan merekalah yang banyak membentuk Eira menjadi pelakon. Nama Eira Syazira juga diberikan oleh Datuk Yusof Haslam dan Yusof Kelana ketika itu dan drama pertama yang saya lakonkan ialah Lara Sunti. Hinggalah kini saya masih tetap di sini dan masih terus mencari yang terbaik,” ujarnya yang mengidamkan watak sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU) tidak kiralah cacat fi zikal mahupun cacat pemikiran.
Dalam pada itu terbaru katanya dia diberi kepercayaan oleh pengarah Shahrulezad untuk berlakon bersama suami dalam drama Feri Terakhir.
“Bergandingan bersama suami bukanlah perkara luar biasa. Di lokasi kami pelakon dan perlu tunjukkan sikap profesional. Shahrulezad juga antara pengarah yang ingin saya bekerjasama. Hasil karyanya sangat bagus dan ada kelainan,” katanya.
Mahu Bergelar Penyanyi
Sekian lama bergelar pelakon, Eira atau nama sebenarnya Syazira Suhaimi mahu memanjangkan langkahnya dalam bidang seni sebagai penyanyi.
“Percubaan pertama saya adalah untuk lagu dalam drama Feri Terakhir ini. Dalam pada itu saya juga sedang berusaha untuk mengeluarkan single bergandingan bersama suami. Sejak beberapa bulan yang lalu saya sudah letakkan nyanyian di laman Youtube dengan lagu berjudul Sajak Dari Hati. Alhamdulillah saya melihat ada komen yang menarik.
“Sebenarnya dunia seni bagi saya tidak terhad kepada dunia lakonan semata-mata. Menjadi penyanyi juga antara apa yang mahu saya lakukan. Dengan kehadiran single pertama nanti, saya harapkan ia adalah satu permulaan yang baik untuk diri saya.
“Tetapi ia masih dalam proses perancangan dan apa yang boleh dikatakan ia hampir sempurna peran cangannya. Jika tiada apa-apa halangan insya-Allah tidak lama lagi ia akan dilancarkan. Namun buat masa ini saya masih sibuk penuhi penggambaran yang semakin mencurah-curah rezekinya selepas berkahwin. Saya cuba lakukan satu persatu dengan teliti agar ia mampu memberi satu pengalaman yang terbaik untuk kerjaya seni saya,” akhirinya.
Tweet