Cerita Muka Utama

Tidak serasi dengan pilihan keluarga bakal suami

Perkahwinan adalah penyatuan dua jiwa. Saling berkait ibarat mencubit paha kanan, terasa paha kiri. Sebab itulah sebelum mendirikan rumah tangga, pasangan harus mengenali antara satu sama lain demi mencari keserasian. Minggu ini berkongsi dilema seorang gadis yang merasakan jodoh yang cuba diatur keluarga tidak serasi dengan dirinya. Semoga kekusutannya dapat dileraikan.

Saya berusia lewat 20-an. Bulan Mac yang lalu, keluarga ingin menjodohkan saya dengan seorang lelaki, biarlah dinamakan A sahaja. Dia telah datang bertandang ke rumah dan saya berjumpanya buat kali pertama. Dapat saya rasakan A lelaki yang baik memandangkan dia juga berasal dari keluarga yang baik. Jadi saya bersetuju untuk berkawan dahulu dengannya.

Namun masalah timbul bila keluarganya beranggapan, saya bersetuju untuk dijodohkan dengan anaknya. Apabila pihak keluarganya menyatakan hasrat untuk datang meminang, keluarga saya pula tidak dapat menghalang memandangkan mereka malu kerana keluarga A sangat disegani dari segi agamanya. Saya pula terpaksa, semua ini berlaku dalam tempoh satu minggu sahaja dari perkenalan kami dan terus bertunang.

Dalam tempoh pertunangan ini, hanya dua kali saya kami keluar bersama, itu pun dengan ditemani orang ketiga. Dari perhubunganini, dapat saya simpulkan kami tidak sesuai dan tidak serasi dari banyak segi. Saya tidak dapat menerima dirinya seadanya, bukan saja sebagai kawan, tunang malah sebagai bakal suami juga.

Kami banyak berhubung melalui e-mel sahaja tetapi semakin banyak yang saya tahu tentang dirinya, semakin banyak perkara yang tidak serasi antara kami terutama dari segi pendapat dan segi pemikiran.

Saya bingung puan. Bagaimana saya mahu berkahwin dengan lelaki yang tidak boleh saya cintai. Saya takut tidak dapat berbakti untuk dirinya seikhlas hati. Bermacam-macam saya cuba termasuk cuba memujuk hati sendiri agar boleh menerimanya. Akan tetapi semakin saya cuba mencari keserasian, semasa kami berhubung melalui e-mel masih tiada kesesuaiannya.

Saya menjadi semakin malas untuk berhubung dengannya meski pun dia tunang saya.

Pada masa yang sama, saya telah berkenalan dengan seorang lelaki, dinamakan B sejak empat tahun lalu melalui seorang kawan.

Kami berkawan biasa sahaja pada mulanya sehinggalah saya bertunang dan dia melahirkan rasa terkejutnya kerana sebenarnya dia menyimpan perasaan kepada saya. Cuma dia tidak menyangka yang saya akan bertunang dalam tempoh terdekat. Saya juga sebenarnya menyimpan perasaan kepadanya. Tetapi semua sudah terlambat. Perkara ini membuatkan saya semakin bingung.

Pihak keluarga semakin mendesak saya untuk berkahwin dengan A sedangkan dalam hati saya memilih B. Tetapi saya nyatakan di sini, bahawa saya tidak akan dapat mencintai A sepenuh hati meskipun B tidak wujud.

Semakin keluarga mendesak, semakin saya tidak menyukai A. Saya belum membuat solat istikharah kerana saya tidak mahu berkahwin dengannya. Bukankah solat istikharah ini untuk membuat pilihan? Saya telah memilih B tetapi keluarga tidak memahami.

Tolonglah saya Puan? Bagaimana untuk membuat keluarga memahami yang cinta itu tidak boleh dipaksa. Saya takut saya berdosa nanti andai saya terpaksa berkahwin dengan A dan saya tidak dapat mencintai dia dan masih teringatkan B.

Keluarga juga mengetahui tentang persahabatan saya dengan B tetapi mereka tidak bersetuju kerana pada pendapat mereka, B ini tidak setaraf sedangkan mereka belum pernah bertemu dengan B.

Mereka cuma mengandaikan begitu kerana mendesak saya berkahwin dengan A yang pada perkiraan mereka sangat baik dari segi akhlak dan agamanya. Memang saya tidak nafikan, agama itu penting tetapi bagaimana pula dengan perasaan saya? B juga bukan seorang yang jahat, cuma bukan dari keluarga ustaz seperti A.

Tolonglah Puan, ayah amat berkeras mahukan saya berkahwin dengan A. Ibu telah meninggal dunia lima tahun lalu dan saya tiada tempat untuk mengadu. Perlukah saya menurut permintaan keluarga dan mengorbankan perasaan sendiri?

Atau saya perlu berterus terang dengan keluarga walaupun saya akan dimarahi dan ditentang oleh ayah saya? Berdosakah saya puan andai saya tetap dengan pilihan saya?


Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah

Perkenalan sebelum perkahwinan merupakan satu cara untuk membuka minda, perasaan dan hati bagi setiap individu yang ingin membina kehidupan berpasangan dan berkeluarga. Ia merupakan satu cara untuk meyakinkan diri agar membuka penerimaan diri dan pasangan untuk bersetuju membina kehidupan bersama.

Penerimaan dalam diri seseorang pula dirangsang oleh berbagai faktor yang boleh mencorakkan pembinaan keputusan atas pilihan yang disyorkan. Kemahiran untuk membuat keputusan bagi setiap individu dibatasi dengan cara berfikir, cara perasaanmenerima, cara tingkah laku yang dipamerkan yang boleh mempelbagaikan atau mengubah sebarang keputusan yang dibuat oleh individu.

Antara faktor yang mempengaruhi individu membuat keputusan dalam kehidupan adalah kesesuaian atau keserasian yang dirangsang oleh cara dan gaya verbal dan nonverbal yang dipamerkan oleh individu yang menjalinkan hubungan. Semua tingkah laku ini diukir sebagai personaliti yang di pamerkan secara nyata atau tersembunyi.

Cik sekarang berada di ambang pemilihan yang dicipta oleh keluarga cik secara kebetulan. Insiden kebetulan ini telah menyebabkan cik berfikir secara serius tentang masa depan dan pilihan cik yang sebenar. Cik jadi “gelabah” dalam menentukan yang mana sebenarnya yang menjadi pilihan hati cik.

Kedua-dua pilihan yang dibentangkan pada cik mempunyai keunikan tersendiri yang menyebabkan cik makin keliru untuk memilih antara dua. Namun yang pasti A telah menyatakan hasrat dan terus bertunang sedangkan B bagaikan hero yang baru sedar dari mimpi setelah heroinnya telah disambar oleh orang lain.

Perbezaannya A dan B pula sangat ketara memandangkan A telah jelas dan yakin untuk memperisterikan cik ditambah pula dengan ilmu agama yang menebal dalam diri. B pula hanya sedar akan perasaannya pada cik setelah 4 tahun berlalu dan setelah tercabar dengan saingan dari A yang terus mengikat tali pertunangan dengan cik.

Apa yang saya lihat di sini cik telah membuat keputusan cik sejak awal lagi iaitu memilih B namun hanya sedar akan keputusan cik bila A hadir, maka mungkin pilihan di bawah dapat membantu cik untuk membuat keputusan cik. Semak semula perasaan cik dengan kembali kepada realiti diri yang sebenar.

Jika cik yakin dengan pilihan cik terhadap B maka berbincanglah secara matang dengan keluarga cik dan dengan A. Jika B benar-benar mahukan cik sebagai isterinya maka B akan segera mengambil keputusan dan mengharungi semua kepayahan ini bagi membuktikan kesungguhannya terhadap cik. Oleh itu cik perlu dapatkan kepastian dan pengisytiharan dari B secara realiti bukan hanya khayalan saja dalam memastikan B benar-benar hendak memperisterikan cik.

Berbincang secara baik dengan keluarga dan berikan justifikasi yang meyakinkan mereka kerana semua ibu bapa mahukan perkara terbaik untuk anak mereka.

Kawal harapan cik agar segala yang berlaku dapat disandarkan kepada Allah S.W.T. Yakinlah bahawa kadang-kadang sesuatu yang cik rasa baik , namun ia tidak baik bagi Allah S.W.T dan begitu juga sebaliknya. Ada perkara yang cik suka pula mungkin tidak sesuai dengan cik. Oleh itu mintalah petunjuk dari Allah S.W.T agar segala yang berlaku dapat disesuaikan dengan semua keadaan. Jika ditakdirkan jodoh cik sememangnya dengan A maka redhalah dan sebaliknya jika jodoh cik dengan B, maka terimalah dengan hati terbuka. Semua yang berlaku adalah petunjuk dari Allah S.W.T agar manusia berfikir.

Tenangkan diri cik dan buatlah pilihan berasaskan pemikiran yang matang dan terbuka. Jangan diikutkan perasaan atau cinta yang belum pasti sebaliknya carilah kepastian dan realiti dan diri dan pasangan cik. Ketenangan akan membantu cik untuk asertif dan yakin dengan keputusan cik. Tidak perlu kasihan pada orang lain dan korban diri cik sebaliknya yakinlah untuk menzahirkan kebenaran dan berkomunikasilah secara bijaksana bagi mewujudkan situasi yang “win-win”.

Dapatkan nasihat dan bimbingan dari keluarga yang terdekat dan timbangkan secara rasional dan matang. Yakinlah dengan ketetapan Allah S.W.T serta terimalah dengan redha.

Cik yang dimuliakan, Cinta manusia dan cinta Allah S.W.T adalah cinta yang mulia. Namun manusia digalakkan untuk mencintai manusia kerana Allah S.W.T. Jaminancinta ini akan berkekalan dan jarang berlaku kekecewaan kerana manusia sentiasa mendapat cinta Allah SWT melebihi segalanya.

Jika cik cintakan manusia semata-mata dengantidak meletakkan Allah SWT sebagai paksinyamaka ada kemungkinan cinta tersebut hanya bagi memenuhi tuntutan dunia saja.

Oleh itu sesuatu keputusan yang dibuat dan disandarkan kepada Allah S.W.T adalah keputusan yang terbaik. Bermohonlah dengan Allah S.W.T atas kelapangan pemikiran dan pemilihan yang tepat dan mendekatkan diri dengan Allah S.W.T.

Yakinlah bahawa pemilihan berasaskan empat perkara yang disarankan oleh Islam dan yang prioriti adalah agamanya adalah pedoman yang terbaik untuk membuat keputusan. Maka bantulah diri cik untuk memilih yang terbaik untuk diri kerana sesungguhnya cik yang akan melalui semua kemanisan dan kepahitan kehidupannanti. Asertif atau tegas diri dan yakin dengan bantuan Allah SWT akan mencorakkan pilihan cik. Selamat mencuba.

Facebook  |  Mall