Wanita : Personaliti

Kenangan terindah Datin Zam di London

Dengan penuh rendah diri, ujar wanita ini tiada cerita menarik yang boleh dikisahkan mengenai kehidupannya kini. Namun akuinya semasa suami masih memegang jawatan dalam perkhidmatan kerajaan, dia memang sibuk. Tetapi sejak empat tahun lalu, kesibukan itu berkurangan.

“Apa sangatlah yang hendak diceritakan. Sekarang ini masa yang ada saya isikan dengan menguruskan keluarga. Jika ada aktiviti pun, ia berkaitan dengan Puspanita. Sejak empat tahun lalu saya telah dilantik sebagai pemegang amanah Puspanita Kebangsaan. Tugas saya hanya menjaga bangunan dan harta milik Puspanita Kebangsaan,” ujar Datin Zam.
Daripada ceritanya tugas yang disandang ini tidaklah sesibuk berbanding ketika dia diberi tanggungjawab menjadi Pengerusi Puspanita di cawangan Kementerian Pembangunan Luar Bandar beberapa tahun dahulu ketika suaminya masih berkhidmat di sana. Namun begitu amanah yang diberikan oleh Puspanita tetap dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

Bersumpit dengan Orang Asli

Mengimbas kenangan lalu, Datin Zam berkata tugas Pengerusi itu datang dengan tanggungjawab berat. Namun pengalaman ketika melaksanakan tugas tersebut memang tidak dapat dilupakan.

“Antara pengalaman menarik saya adalah ketika membawa ahli-ahli persatuan saya ini menjalankan aktiviti kemasyarakatan ke Pulau Pantos di Pahang. Saya masih ingat lagi, kami pergi ke perkampungan Orang Asli di sana. Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar pun berada bersamasama kami ketika itu.

“Tujuan kami ke perkampungan Orang Asli itu adalah untuk menjalin hubungan silaturahim dengan saudara-saudara baru di sana. Sempat jugalah kami menyingsing lengan membetulkan dewan dan surau. Selama tiga hari kami berkampung dan tidur di sana.

Satu pengalaman baru bagi saya dan ahli ahli pada ketika itu. “Banyak aktiviti yang kami lakukan untuk mengisi masa selama tiga hari itu. Apa yang seronoknya masyarakat Orang Asli di situ juga turut bersama-sama menjayakan setiap aktiviti yang kami buat.

Kami memasak hidangan Orang Asli dan main sukaneka seperti lari dalam kain batik. Malah kami juga belajar bersumpit di sana. Memang seronok,” tuturnya ramah.

Panjat pagar demi Puteri Diana

Sungguhpun tidak lagi menyertai aktiviti sebegitu kini, namun kehidupan Datin Zam tetap ceria dengan pelbagai kegiatan menarik. Melancong antara aktiviti yang disukai oleh wanita yang pernah menetap di London, England selama sembilan tahun ini. Walaupun kini mereka sekeluarga sudah kembali menetap di tanah air, namun setahun sekali sudah pasti mereka akan meluangkan masa untuk bercuti di London. “Sewaktu suami bekerja di sana, kami ramai rakan yang menetap di London. Sesekali balik ke sana, sudah pasti kami akan melawat mereka

Sesungguhnya kota itu banyak menyimpan kenangan menarik yang tidak dapat dilupakan oleh saya. “ Salah satu kenangan yang tidak dapat saya lupakan adalah ketika kematian mendiang Puteri Diana. Saya memang suka Puteri Diana. Saya sedang bercuti untuk menyambut hari lahir saya di Portugal sewaktu mendengar berita kema tiannya.

“Sedih dan terkejut dengan berita tersebut telah membuat kan saya segera meninggalkan Portugal dan kem bali semula ke London. Saya tekad untuk memberi penghormatan terakhir kepada mendiang puteri kesayangan rakyat itu.

“Apa yang saya buat adalah membawa hadiah berupa kuntu man bunga untuk diletakkan di hadapan di istana tempat jenazahnya diletakkan. Barisan orang yang mengunjungi memang panjang. Tetapi saya tidak kisah. Tiada perasaan letih kerana hanya inilah sahaja masa yang ada untuk mengucapkan selamat tinggal.

“Sedang saya menunggu giliran untuk meletakkan bunga, tiba-tiba salah seorang pengunjung meminta bantuan saya untuk memegang kalungan bunga yang besar kerana dia mahu membuang air. Saya bersetuju.

“Tiba-tiba tanpa saya sedari, wajah saya terpampang di televisyen sambil memegang kalungan bunga yang besar itu. Waktu itu wajah saya memang sedih tetapi apabila diingatkan semula rasa kelakar kerana kalungan bunga milik orang lain tetapi saya yang dapat nama.

“Disebabkan terlalu meminati Puteri Diana juga, saya sanggup memanjat pagar rumah kerana mahu membaling bunga ke atas kereta jenazah mendiang yang melalui di hadapan rumah saya,”ceritanya.

Jumpa Ratu Elizabeth II

Sambungnya saat kematian puteri yang disayangi itu, bahang kesedihan terasa di seluruh kota London pada waktu itu. Bukan saja tergambar di wajah penduduk kota itu tapi setiap berita dan cerita mengenai mendiang juga turut dipaparkan di media cetak dan media elektronik.

Untuk menyimpan kenangan tragedy yang menimpa Puteri Diana itu, Datin Zam juga tidak ketinggalan menyimpan beberapa keping akhbar yang menceritakan tentang kematian mendiang Puteri Diana pada tahun 1997 itu.

Dalam pada itu mengikut suami bertugas sebagai diplomat di bawah Sekretariat Komanwel di London juga telah membolehkan Datin Zam diundang oleh pihak istana untuk menghadiri majlis hari lahir Ratu Elizabeth II. Boleh dikatakan setiap tahun sepanjang berada di sana, Datin Zam akan berpeluang bertemu dengan nenek kepada Putera William ini.
“Seronok kerana dapat memasuki Istana Buckingham dan Istana Windsor tempat sambutan itu diadakan. Sayangnya polisi pihak istana yang tidak membenarkan kami bergambar di dalam istana membuatkan momen terindah itu tidak dapat dirakamkan. Namun begitu saya puas hati kerana dapat bertemu dengan Ratu Elizabeth II,”luahnya.

Kenali masyarakat dan budaya setempat ketika melancong

Menurut Datin Zam, minat melancong yang ada dalam dirinya bukan sekadar untuk membeli-belah tetapi juga caranya untuk mengenali budaya dan gaya hidup masyarakat setempat.

“ Saya akui, saya turut membeli-belah sewaktu melancong. Barang-barang yang saya beli adalah pasu-pasu Kristal pelbagai jenis. Tetapi agenda utama saya melancong bukan hanya membeli-belah.

Saya akan mengunjungi tempat-tempat bersejarah di setiap negara yang saya kunjungi. “Melancong boleh membuka minda kita. Rugi jika kita hanya membeli-belah sahaja. Pada pendapat saya, jika tidak pergi ke tempat bersejarah kita tidak akan mengetahui sejarah negara yang dilawati.

Bukan selalu kita ke negara orang. “Lebih baik kita mengambil peluang tersebut untuk menjelajah sejarah dan budaya hidup serta makanan mereka. Mungkin ada yang anggap melawat tempat-tempat bersejarah itu bosan tetapi tidak bagi saya sebaliknya ilmu pengetahuan,”katanya yang turut menyimpan buku panduan melancong di setiap negara yang dilawatinya.

 

Facebook  |  Mall